Monday, April 12, 2010

skse3093

3. Bahaskan sejauhmanakah wujudnya ‘kontrak sosial’ antara kaum ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan?

1.0 PENDAHULUAN
Pembentukan negara bangsa merupakan satu usaha yang paling mencabar bagi sesebuah negara yang mempunyai kumpulan kaum yang majmuk. Amalan ialah perbuatan yang biasa dilakukan, kebiasaan, manakala sistem sosial ialah satu tingkah laku atau Organisasi yang saling berkaitan dengan hak dan kewajipan yang ditentukan oleh masyarakat bagi orang yang menduduki posisi tertentu di dalam masyarakat. Sistem sosial merangkumi aspek politik, ekonomi, budaya, pendidikan, agama dan hukum. Kesan daripada peristiwa 13 Mei telah menunjukan betapa pentingnya perpaduan kaum. Justeru itu jelaslah bahawa perpaduan amat penting bagi negara kita yang mempunyai penduduk yang majmuk. Antara amalan yang dapat dilihat dengan jelas berkenaan dengan isu perpaduan adalah kontrak sosial.
Di Malaysia, Kontrak sosial wujud di antara orang Melayu dengan orang Cina serta India yang pada hari ini merangkumi Melayu dan Bumiputera Sabah/Sarawak. Ianya adalah bertujuan untuk:
i. menyelesaikan perbezaan kepentingan diri atau kelompok masing - masing.
ii. memastikan kepentingan majoriti dan minoriti di ambil kira tanpa menjejaskan hak dan kepentingan masing-masing.
iii. memastikan persetujuan yang dicapai kekal dan diwarisi turun-temurun kerana persetujuan dianggap memenuhi kepentingan yang berpanjangan.
iv. memastikan setiap pihak yang bersetuju mematuhi dan menyampaikan kepada generasi seterusnya agar ia tidak bercanggah di masa depan.
Kontrak sosial adalah persetujuan yang dicapai sebelum merdeka di kalangan para pemimpin Melayu, Cina dan India dan parti-parti yang mereka wakili, UMNO, MCA dan MIC. Bagaimanapun, kontrak sosial harus dianggap sebagai satu persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum, bukan hanya pemimpin atau kumpulan elit tertentu. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Rakyat perlu memahami fakta sejarah bahawa kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah.
Isu kontrak sosial ini sering ditimbulkan dan dipertikaikan mungkin kerana kontrak sosial ini telah dibentangkan kepada masyarakat sebagai satu persetujuan antara elit pada masa tertentu, dalam keadaan tertentu. Ini menyebabkan generasi baru menganggapnya sebagai tidak lagi relevan. Rakyat Malaysia perlu memahami kontak sosial dengan jelas berdasarkan kepada fakta sejarah. Kontrak sosial harus difahami sekurang-kurangnya tentang hubung kaitnya kepada empat perkara utama iaitu perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan negara.
Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak dapat mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 kerana pihak British ketika itu menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara demokrasi berparlimen raja berperlembagaan dengan konsep negeri dan persekutuan. Selain itu, Perlembagaan Persekutuan diwujudkan hasil daripada kontrak sosial yang dilahirkan daripada permuafakatan pelbagai kaum di negara ini. Perlembagaan itulah juga yang mentakrifkan negara kita serta menentukan sifat bangsa dan negara Malaysia. Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 memberikan kewarganegaraan terbuka kepada bukan Melayu, sebahagiannya imigran dan diterima secara automatis sebagai warga Negara dan diberikan jus soli. Inilah antara sifat negara dan bangsa Malaysia yang harus difahami, berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan sistem pemerintahan beraja.

2.0 KONTRAK SOSIAL

Idea kontrak sosial bermula di Eropah pada abad ke-17 dan ke-18 dan di pelopori oleh tokoh-tokoh seperti Jaque Rousseau, John Locke and Thomas Hobbes. Pada dasarnya, ia merujuk kepada persetujuan bersama di kalangan rakyat sesebuah negara berkaitan dengan hak dan tanggungjawab mereka. Di mana manusia dikatakan mempunyai nafsu yang tinggi terhadap kekuasaan, kekayaan, kehormatan dan pengetahuan dan ia disifatkan sebagai tidak terbatas. Lantaran itu, perlu wujudnya satu mekanisme bagi mengawal keinginan manusia tersebut dalam usha mewujudkan keselamatan serta kestabilan dalam negara .
Menurut John Locke (1632-1704) dalam tulisannya An Eassy Concerning the True Original, Extent and End of Civil Government dalam Sosial Contract ( Oxford University Press, 1960) , beliau menjelaskan bahawa wujudnya tiga pihak dalam proses kontrak sosial iaitu orang yang mencipta kepercayaan (the trustor), orang yang diberi kepercayaan ( the trustee) dan mereka yang memperoleh manfaat daripada pemberian kepercayaan itu ( the beneficiary). Hubungan tersebut bakal mewujudkan satu situasi saling mempercayai antara satu sama lain dan ia amat penting dalam mengekalkan keselamatan sesebuah negara. Ini kerana sekiranya hubungan kepercayaan tersebut terhakis maka pemerintah akan kehilangan kuasa untuk melaksanakan dasar yang ingin dilakukannya.
Dalam masyarakat Melayu purba pernah dikisahkan tentang perjanjian semacam kontrak sosial sifatnya antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba, mengenai sama ada raja itu boleh ditentang atau tidak. Kontrak sosial itu menegaskan perlunya rakyat patuh kepada raja kalau raja itu
adil. Tetapi dalam sejarah tamadun Melayu kemudiannya berlaku peristiwa Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dalam kerajaan Melayu Johor lama yang berpusat di Kota Tinggi. Dalam tragedi di mana isteri Laksamana yang sedang mengandung dibunuh oleh Sultan hanya kerana memakan seulasnangkamilik Sultan telah mencetuskan penentangan terbuka Laksamana terhadap Sultan. Kata-kata yang keluar dari mulut Laksamana ketika dia mencabar Sultan Mahmud itu ialah:
“Raja adil raja disembah;
Raja zalim, raja disanggah,”

Dialog Laksamana itu berupa satu kontrak sosial antara raja dengan rakyat. Perkataan disembah itu membawa erti dipatuhi atau dituruti; manakala disanggah bererti ditentang atau dilawan. Dalam kejadian itu Laksamana menuntut membela kematian isterinya ditangan Sultan yang zalim itu dengan membunuh Sultan Mahmud yang ketika itu sedang dijulang. Ini cerita benar dan Sultan Mahmud yang mangkat ketika dijulang atau diusung itu dikebumikan di Kota Tinggi [ di Kampung Makam, berdekatan jalan ke Desaru]
Terdahulu dari peristiwa itu telah berlaku peristiwa penderhakaan Hang Jebat terhadap Sultan Melaka. Hang Jebat telah menentang Sultan Melaka secara terbuka kerana Sultan telah menjatuhi hukuman bunuh secara tidak adil terhadap Hang Tuah, sahabat Hang Jebat. Peristiwa penentangan Hang Jebat itu merupakan cabaran terbuka kontrak sosial antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba. Seperti Laksamana di Kota Tinggi, Hang Jebat juga berpendirian raja yang zalim tidak wajar dipatuhi, sebaliknya perlu ditentang. Tetapi karekter Hang Tuah menggambarkan watak yang mahu
mempertahankan status quo bahawa “pantang Melayu menderhaka terhadap rajanya”.

Hang Tuah ingin mengekalkan kontrak sosial yang bersifat sepihak iaitu raja perlu dipatuhi. Rakyat tidak boleh menentang. Pendirian ini semacam ada persamaan dengan definisi kontrak sosial yang dikemukakan oleh seorang ahli falsafah Inggeris bernama Hobbes (1588-1679) iaitu rakyat perlu mengikut perintah raja secara mutlak dan kontrak itu tidak boleh dirungkai sampai bila-bila.

Dalam masyarakat Malaysia moden hari ini wujud juga kontrak sosial antara pemerintah satu pihak dan rakyat di pihak yang lain. Dalam sistem demokrasi yang wujud pilihanraya, setiap lima tahun pemerintah perlu menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat. Untuk berkuasa semula, pemerintah perlu mendapatkan mandat baru daripada rakyat melalui proses pengundian sulit; satu orang, satu undi. Kerajaan yang dilihat tidak adil, rasuah, zalim, menyeleweng dan sebagainya akan ditolak oleh rakyat melalui proses undi. Syaratnya sistem pilihanraya itu dijalankan secara adil tanpa penyelewengan dan penipuan seperti wujudnya “Pengundi Hantu”.
Teori kontrak sosial menurut pandangan ahli teori demokratik Eropah seperti Thomas Hobbes dan John Locke ialah bahawa manusia mewujudkan negara sebagai satu perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju kepadanya. Kontrak ini bererti individu-individu yang bebas bersetuju untuk menyerahkan haknya untuk memerintah diri sendiri itu kepada satu institusi bersama yang berkuasa dan berdaulat. Menurut bahasa, kontrak boleh didefinisikan sebagai perjanjian formal dengan syarat-syarat tertentu antara dua pihak atau lebih. Ia juga boleh bermaksud dokumen yg mengandungi syarat-syarat perjanjian atau cabang undang-undang yg berkaitan dgn kontrak. Sosial pula boleh ditakrifkan sebagai segala yg berkaitan dgn masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan. Oleh itu, kontrak sosial apabila diasimilasikan boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk perjanjian atau permuafakatan yang ditulis dan ditetapkan oleh undang-undang (perlembagaan) yang melibatkan semua masyarakat di sesebuah negara. Oleh itu, perbincangan kontrak sosial bagi penulisan ini akan ditumpukan kepada skop perlaksanaannya di Malaysia.
Secara mudah, kontrak sosial merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Pemeteraian kontrak sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC. Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tetapi dari perspektif lain, kontrak sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan negara kita dan seterusnya menentukan sifat negara.
Kontrak sosial sebenarnya merupakan watikah asas keadilan sosial untuk negara. Keadilan sosial yang terkandung dalam perjanjian ini merangkumi bukan sahaja soal keadilan ekonomi tetapi juga keadilan politik dan keadilan kebudayaan. Oleh itu, kontrak sosial yang dipersetujui perlu dijadikan rujukan asas segala usaha untuk menegakkan keadilan sosial di negara ini. Pengajaran utama yang harus dipelajari oleh kaum bukan Melayu ialah peristiwa rusuhan 13 Mei 1960 kerana mencabar kedudukan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
iv) memastikan setiap pihak yang bersetuju mematuhi dan menyampaikan kepada generasi seterusnya agar ia tidak bercanggah di masa depan.
3.0 ELEMEN-ELEMEN KONTRAK SOSIAL MENURUT PERLEMBAGAAN
PERSEKUTUAN
Perlembagaan Persekutuan adalah hasil daripada persetujuan yang tercapai antara penduduk di Malaysia daripada kalangan kaum Melayu, Cina dan India. Perlembagaan Malaysia bukan sahaja dokumen perundangan akan tetapi ia adalah kontrak sosial dan perjanjian perdamaian. Perlembagaan Malaysia merupakan suatu bentuk tolak ansur yang ulung dengan setiap kumpulan memberi sesuatu dan kembali mendapat sesuatu (yang lain). Ini seperti yang ditegaskan oleh Tunku Abdul Rahman:
“Orang Melayu sedia memberikan hak-hak munasabah dan patut kepada orang-orang bukan Melayu. Orang Melayu telah memberikan pengorbanan yang begitu banyak kepada bangsa-bangsa bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri yang berbudi sebegitu tinggi seperti yang diperbua oleh orang Melayu. Sesungguhnya ada jaminan hak-hak istimewa Melayu dalam perjanjian persekutuan tetapi ia tidak sekali-kali mencegah dan menyekat bangsa-bangsa yang bukan Melayu daripada mencapai kesenangan dan kejayaan, dan lagi sehingga sekarang hak-hak istimewa Melayu itu masih belum lagi menghasilkan keadaan yang setaraf di antara orang Melayu dengan bukan Melayu.” Beberapa peruntukan yang digubal dalam perlembagaan mengekalkan beberapa elemen penting yang menjadi tradisi sejak zaman sebelum penjajahan British lagi. Para penggubal mengangap elemen-elemen tersebut penting memandangkan peranan yang dimainkan dalam menjaga kestabilan negara terutamanya dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum. Peruntukan itu adalah hasil proses tawar menawar pada asasnya merupakan semangat perjanjian di sebalik pembentukan perlembagaan tahun 1957. Seperti yang diterangkan oleh Mohamed Suffian: “Sebagai balasan kerana mengendurkan syarat kerana memberi kewarganegaraan kepada orang-orang Melayu, hak-hak dan keistimewaan orang Melayu sebagai peribumi negara ini hendaklah ditulis di dalam perlembagaan dan terdapat juga peruntukan lain yang juga dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin bukan Melayu”
Inilah asas yang menjadi perjanjian sosial di antara masyarakat majmuk di Malaysia dengan memberi pengorbanan dalam sebahagian hak mereka dan menghormati hak sebahagian komuniti yang lain demi untuk keseimbangan dalam masyarakat bernegara. Sebahagian besar ciri-ciri utama yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan adalah unsur kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua pihak.
Di mana-mana negara sekalipun, perlembagaan lahir hasil daripada perkembangan sejarah. Perlembagaan juga merakamkan sifat-sifat asal negara itu merangkumi nilai tradisi, politik dan kebudayaan. Elemen-elemen ini yang menjadikan bangsa Melayu selaku bangsa asal yang mendiami Tanah Melayu memasukkannya ke dalam Perlembagaan bagi mengekalkan keistimewaan mereka. Di antaranya ialah:
1. KEDUDUKAN RAJA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Beberapa abad lamanya orang Melayu diperintah berdasarkan pemerintahan beraja. Mereka diperintah oleh sultan dan kepadanya diberikan sepenuh taat setia. Kesultanan Melayu merupakan elemen penting dalam masyarakat Melayu. Ianya mengekalkan simbol penting bagi survival orang-orang Melayu. Semasa pemerintahan British pun raja-raja masih dianggap sebagai raja yang berdaulat dan masih lagi mempunyai kuasa bagi hal-hal tertentu bagi negeri masing-masing meskipun mereka dipaksa menerima beberapa triti dengan British untuk menerima penasihat British.
Apabila akhirnya kemerdekaan diberikan kepeda Semenanjung Tanah Melayu, institusi beraja diteruskan tetapi dengan beberapa pindaan supaya dapat disesuaikan dengan konsep demokrasi berparlimen dan kemerdekaan. Raja-raja Melayu menggambarkan ciri-ciri asal negara Malaysia. Ia melambangkan kesinambungan sejarah dan menjadi sebahagian daripada identiti negara. Sebagai sebuah negara Malaysia perlu mempunyai satu identiti yang berbeza dan unik. Inilah yang mendasari bentuk dan menyediakan isi kepada upacara rasmi negara. Kewujudan sistem beraja dengan sendirinya menekankan ciri-ciri kemelayuan.
Hasil penerimaan sistem raja berperlembagaan, Yang Dipertuan Agong diberi kuasa memerintah Persekutuan tetapi sebagai raja berperlembagaan baginda dikehendaki mengikut nasihat jemaah menteri atau menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri. Baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuandan merupakan salah satu unsur utama daripada tiga unsur utama badan perundangan persekutuan iaitu parlimen. Disamping itu, Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan membuat peruntukan bagi menjamin hak seseorang raja untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak keistimewaan di sisi Perlembagaan bagi seseorang raja dalam negeri itu. Institusi kesultanan dilindungi oleh Perlembagaan dengan cara bahawa tiada pindaan boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan Majlis Raja-Raja, susunan keutamaan dan hak-hak mereka untuk warisan sebagai raja negeri masing-masing tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Malah tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.
Raja-raja Melayu bagi negeri-negeri Melayu hendaklah orang Melayu dan oleh kerana itu ianya orang Islam. Yang Di pertuan Agong (yang dipilih daripada kalangan Raja-Raja Melayu) yang mempunyai kuasa pemerintah bagi persekutuan juga adalah seorang Melayu dan Muslim. Perbincangan tentang pemerintahan berja tidak akan lengkap tanpa menyebutkan kedaulatan dan kekebalan (imunity) raja. Perlembagaan memperuntukan bahawa Yang Dipertuan Agong tidak boleh didakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah. Negara ini masih bernasib baik dengan mewarisi sistem raja-raja yang melambangkan kuasa Islam. Pada masa ini Perkara 3(2) merujuk kepada tiap-tiap negeri dalam persekutuan, Raja atau Sultan adalah ketua agama Islam kecuali Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
2. HAK KEISTIMEWAAN ORANG MELAYU
Perlembagaan Malaysia mempunyai satu peruntukan khas di bawah Perkara 153 bertujuan memelihara orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Peruntukan-peruntukan berkaitan juga terdapat di bawah Perkara 161(A) dan dalam beberapa perlembagaan negeri.
Di sisi undang-undang perlembagaan, erti ”Melayu” ialah seseorang yang memenuhi tiga syarat asas; (i) menganuti agama Islam, (ii) secara lazim bercakap Melayu, dan (iii) menurut adat istiadat Melayu (Perkara 160). Dengan hanya mempunyai sifat-sifat (i) hingga (iii) belum sempurna lagi ke Melayuan seseorang itu di sisi Perlembagaan. Seseorang yang mendakwa dirinya Melayu hendaklah membuktikan juga bahawa dia lahir sama ada di Persekutuan atau di Singapura sebelum hari Merdeka atau dapat membuktikan bahawa dia adalah anak kepada ibu atau bapanya yang lahir di Persekutuan atau di Singapura sebelum Merdeka.
Setelah mengimbas kembali siapa itu Melayu, perlu kini kita amati Perkara 153 yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu yang bumiputera yang termaktub di bawah klausa (2) Perkara 153. Perkara 153 menggariskan bahawa Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet berkuasa menyelamatkan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan menentukan bagi mereka kedudukan dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau lain-lain kemudahan yang diberikan oleh kerajaan termasuk permit atau lesen perniagaan. Peruntukan Perkara 153 adalah seperti berikut;
Perkara 153 (I): Perezaban quota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya untuk orang Melayu.
(1) Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.
(2) Walau apapun yang terkandung dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan tugas-tugasnya di bawah Perlembagaan ini dan di bawah undang-undang Persekutuan mengikut apa-apa cara sebagaimana yang perlu untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan juga untuk menentukan perezapan bagi orang Melayu dan bumiputera mana-mana negeri-negeri Sabah dan Sarawak suatu kadar yang difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai jawatan dalam perkhidmatan awam (lain daripada perkhidmatan awam sesuatu negeri) dan mengenai biasiswa, bantuan dan lain-lain keistimewaan pelajaran atau latihan yang seumpamanya atau lain-lain kemudahan khas yang diberi atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan suatu kadar yang difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai permit atau lesen bagi menjalankan apa-apa trade atau perniagaan, dan perezapan permit dan lesen itu adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini.
Kedudukan istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 yang memberi kuat kuasa undang-undang perlembagaan kepada undang-undang yang sedia ada yang melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu. Selain itu, kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu dengan pengecualian orang bukan Melayu sebagaimana dikuatkuasakan oleh Perkara 8(5)(f) juga dianggap sebagai sebahagian daripada kedudukan istimewa orang Melayu.
Walaupun dari satu sudut peruntukan khas ini seolah-olah bercanggah dengan kesamarataan layanan perlembagaan ke atas semua warganegara persekutuan, namun ia satu pertimbangan untuk menyamakan taraf kaum bumiputera dengan kaum-kaum yang lain khususnya Cina di tanah air bagi menjamin mewujudkan keseimbangan, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan agihan kekayaan khususnya kepada kaum yang masih lemah dan ketinggalan menjelang kemerdekaan. Kedudukan istimewa orang Melayu ini tidak mutlak. Ia diseimbangkan dengan kepentingan sah kaum lain yang secara amnya termasuklah hak mendapat kewarganegaraan Malaysia menurut peruntukan kewarganegaraan dalam perlembagaan, hak menganut dan mengamalkan agama masing-masing, hak untuk menggunakan bahasa ibunda dan yang paling penting hak untuk mendapat layanan yang sama rata. Seperti juga kedudukan istimewa orang Melayu, hak-hak ini juga dibatasi oleh beberapa peruntukan dalam Perlembagaan.
3. KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI
Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu isu yang penting kerana ianya berkait rapat dengan kepercayaan dan iktikad majoroti penduduk (orang Melayu) di Malaysia.
Dalam Perlembagaan Persekutuan dinyatakan:
“Agama Islam ialah bagi seluruh persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan” Menurut Tun Salleh Abbas, Melayu dan Islam adalah dua unsur yang bercantum dan tidak boleh dipisahkan untuk tujuan undang-undang dan perlembagaan. Maka adalah menjadi tanggungjawab Yang Dipertuan Agong untuk melindungi orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana Islam dan Melayu merupakan dua entiti yang tidak boleh dipisahkan, maka tugas menjaga orang Melayu termasuk juga melindungi dan menjaga agama Islam. Orang Melayu sebagaimana yang telah dijelaskan oleh penulis sebelum ini ditakrifkan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan iaitu sebagai seorang yang menganut agama Islam, yang lazim bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.
Maka dengan ini, peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa “Islam adalah agama bagi persekutuan” membayangkan apa yang telah dipertahankan oleh orang Melayu sepanjang masa, malah sebelum kuasa British masuk ke Malaysia lagi. Semasa penjajahan British, mereka membawa masuk agama Kristian sementara kaum pendatang membawa masuk agama lain seperti Hindu dan Buddha. Oleh yang demikian, menjadikan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan mestilah juga memberikan pertimbangan kepada kepercayaan kaum lain.
Oleh itu, Perkara 3 memperuntukan satu fasal imbangan yang menyebut “tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan“. Malah setiap kumpulan agama juga mempunyai hak untuk:
a) Menguruskan hal ehwal agamanya sendiri
b) Menubuh dan menyelenggara institusi-institusi bagi maksud-maksud agama atau khairat, dan
c) Memperoleh dan memiliki harta benda serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang
Berikutan dengan Islam diterima sebagai agama bagi persekutuan, maka kerajaan Persekutuan dan negeri mempunyai kebebasan, kuasa dan keistimewaan untuk menubuhkan atau menyelenggara atau membantu penubuhan atau penyelenggaraan institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan untuk mengeluarkan perbelanjaan yang diperlukan untuk tujuan itu. Oleh itu, kerajaan persekutuan dan negeri melalui akta dan enakmen perbekalan tahunan, diberi kuasa untuk membelanjakan wang untuk pentadbiran agama Islam dan undang-undangnya. Peruntukan seumpama itu jelas disahkan oleh Perkara 12(2).
4. BAHASA MELAYU
Bahasa sentiasa menjadi faktor terpenting dalam menentukan jati diri sesebuah negara. Keperluan satu bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan umum dan bahasa rasmi kebangsaan disedari penting untuk menyatukan rakyat pelbagai asal keturunan yang masing-masing dengan bahasa pertuturannya.
Isu bahasa merupakan salah satu perkara yang dibincangkan semasa perundingan perlembagaan dan proses pembentukannya. Namun isu ini dapat diselesaikan dengan permuafakatan antara kaum. Tan Siew Sin telah menerangkan bagaimana isu bahasa telah dapat diselesaikan:
“Masyarakat bukan Melayu menaruh harapan besar kebudayaan dan bahasa mereka. Biar saya nyatakan sebagai contoh, perlembaagaan Reid sebagaimana rangka awalnya tidak menyebut apa-apa tentang mengekal dan menegmbangkan bahasa Cina dan Tamil atau bahasa-bahasa lain.Apabila dicadangkan kepada pemimpin Melayu bahawa perlembagaan sepatutnya dengan eksplisit menyatakan pengekalan dan perkembangan kedua-dua bahasa Cina dan Tamil hendaklah digalak dan dipelihara, mereka bersetuju” Maka bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dengan tidak mengenepikan bahasa lain. Ini seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaaan Persekutuan yang menyebut:
(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:
Dengan syarat bahawa-
(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.
Hipotesis utama disebalik meluluskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan menyatupadukan pelbagai kaum ke arah menjadi sebuah negara yang bersatu melalui satu bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa pengantar negara ini sejak dahulu lagi.

4.0 KONTRAK SOSIAL ANTARA KAUM UNTUK MENCAPAI KEMERDEKAAN
TANAH MELAYU
5.1 ROMBONGAN KEMERDEKAAN
Pada 10 Mei 1957 Tunku telah mengepalai rombongan untuk kali ketiga ke London berbincang dengan kerajaan British tentang kemerdekaan. Rombongan itu bertolak ke London dengan pesawat BA 781. Rombongan kemerdekaan telah berada di sana selama 15 hari.Tunku Abdul Rahman, Dato Abdul Razak dan Ong Yoke Lim telah ditempatkan di Prior's House manakala V.Y. Sambanthan dan Tunku Ismail telah ditempatkan di Queen's House yang terletak di St. James's Court, Buckingham Gate, S.W.1.
Dalam mesyuarat antara rombongan kemerdekaan dengan kerajaan British, beberapa persetujuan telah dicapai mengenai butir-butir perlembagaan. Tidak lama kemudian, Kertas Putih Kerajaan yang mengandungi pindaan-pindaan atas Penyata Reid telah dikeluarkan. Bahasa Kebangsaan telah diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan.Yang di Pertuan Agung telah diberi tanggungjawab oleh Perlembagaan untuk menjaga kedudukan istimewa orang-orang Melayu serta hak-hak yang halal bagi kaum-kaum yang lain.
Pada 29-30 Jun 1957, kertas putih itu telah dikemukakan di Perhimpunan Agung UMNO di mana ia telah diluluskan dengan sebulat suara. Rang Undang-Undang itu kemudiannya telah di bawa ke Majlis Perundangan Persekutuan pada 10 Jun 1957. Tunku Abdul Rahman, selaku Ketua Menteri telah membentang Rang Undang-Undang tersebut yang mengambilmasa selama 2 1/2 jam. Tunku memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan akan berlaku adil kepada semua pihak. Mengenai Perkara 152(1). Tunku menganggap sebagai tanggungjawab mempertahankan keistimewaan bagi orang Melayu tanpa menjejaskan hak sediada bukan Melayu.
It was necessary for Malays to be protected otherwise they would go under as has happened in Singapore or Penang Usul itu telah di sokong oleh Tan Siew Sin. Sehubung dengan kedudukan istimewa orang Melayu, Tan Siew Sin menegaskan bahawa ia bukan sesuatu yang baru dan 'was not only for the benefit of the Malay themselves but in the interest of the country as a whole in order to bring the Malays up to something nearer equality with the other races'. Beliau juga tidak membantah hasrat untuk menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan ' as there was no derogation of the principle of a secular state or no disabilities were imposed on non-muslim' Perlembagaan itu telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 27 Ogos 1957.
5.2 MERDEKA
Tepat jam 12 malam bertempat di padang Bangunan Sultan Abdul Samad, Razak bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin lain mengiringi Tunku Abdul Rahman untuk menurunkan bendera Union Jack bagi menandakan tamatnya penjajahan British di Tanah Melayu. Dengan laungan ‘merdeka’, bendera ‘Union Jack’ perlahan-lahan diturunkan. Razak merasa megah dan puashati. Setelah bertahun-tahun berjuang, Tanah Melayu akhirnya akan kembali bebas dan merdeka.
Pada pagi 31 Ogos 1957, satu majlis telah diadakan di Stadium Merdeka yang dibina khas untuk meraikan peristiwa yang bersejarah itu. Bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman dan barisan pimpinan lain, Razak berdiri megah apabila Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan kemerdekaannya. Beliau turut tercabar apabila Tunku mengingatkan bahawa perjuangan mereka masih lagi belum selesai.
Janganlah ada orang yang menyangka bahawa kita telah sampai ke penghujung jalan. Kemerdekaan itu sesungguhnya adalah semata-mata ibarat tempat perbentian dalam perjalanan yang jauh, malahan ia adalah ambang kepada satu usaha dan percubaan bagi mewujudkan sebuah negara baru yang berdaulat.
Kontrak sosial adalah persetujuan yang dicapai sebelum merdeka di kalangan para pemimpin Melayu, Cina dan India dan parti-parti yang mereka wakili, UMNO, MCA dan MIC. Bagaimanapun, kontrak sosial harus dianggap sebagai satu persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum, bukan hanya pemimpin atau kumpulan elit tertentu. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Rakyat perlu memahami fakta sejarah bahawa kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah.
Isu kontrak sosial ini sering ditimbulkan dan dipertikaikan mungkin kerana kontrak sosial ini telah dibentangkan kepada masyarakat sebagai satu persetujuan antara elit pada masa tertentu, dalam keadaan tertentu. Ini menyebabkan generasi baru menganggapnya sebagai tidak lagi relevan. Rakyat Malaysia perlu memahami kontak sosial dengan jelas berdasarkan kepada fakta sejarah. Kontrak sosial harus difahami sekurang-kurangnya tentang hubung kaitnya kepada empat perkara utama iaitu perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan negara.

Dalam konteks negara kita Malaysia, kontrak sosial lebih bermaksud tolak ansur atau kompromi antara pelbagai pihak. Kontrak sosial sebenarnya wujud dalam beberapa konteks iaitu: (1) Antara istana dengan rakyat biasa (2) Orang Melayu dengan bukan Melayu (3) Negeri dengan Persekutuan (4) Negeri-negeri Borneo dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Tolak ansur inilah yang menyebabkan adanya peruntukan-peruntukan yang ganjil, yang tidak selaras dengan demokrasi dan kesamarataan di dalam perlembagaan. Hanya dengan memahami konteks sejarah ketika perlembagaan dirangka pada 1957 sahaja kita dapat menyelami ruang lingkup peruntukan-peruntukan berkenaan.

Justeru, kontrak sosial bukan hanya wujud dalam konteks hubungan kaum sahaja seperti yang sering ditimbulkan pada hari ini dan lebih malang lagi kontrak sosial kini hanya dilihat sisinya sebagai sesuatu yang menguntungkan orang Melayu sahaja. Ini adalah persepsi yang amat salah terhadap kontrak sosial.

Sejarah telah mencatatkan bahawa orang Melayu tidak dapat menerima orang bukan Melayu sebagai warganegara. Dan peruntukan dalam perlembagaanlah yang mengimbangi keadaan itu dengan pengekalan kedudukan dan hak tertentu untuk orang-orang Melayu. Hal inilah yang nampaknya mendominasi wacana kontrak sosial itu dan sering diperkatakan.

Kontrak sosial ini pula sesuai dengan namanya, bukanlah sesuatu yang bertulis dan tidak timbul soal sama ada ia mengikat generasi yang ada sekarang atau pun tidak. Kontrak sosial bukan isu undang-undang, ia adalah isu politik, isu falsafah dan seumpamanya yang memerlukan penyelesaian di lapangan politik.

Disebabkan kejanggalan sifatnya, kontrak sosial amat wajar dan penting difahami oleh ahli-ahli parlimen, anggota pentadbiran dan para hakim supaya menyedari hakikatnya. Mereka ini sepatutnya membantu memperjelaskan kontrak sosial agar difahami umum dan bukannya golongan ini yang mencetuskan "kekacauan" dengan mereka sendiri yang mempersoalkan kontrak sosial.

Perkara yang penting difahami dalam kontrak sosial ialah adakah peruntukan-peruntukan yang "kelihatan ganjil" itu terlalu bercanggah dan menimbulkan ketidakselesaan yang melampau dalam masyarakat?
Dalam isu kedudukan Islam, peruntukan yang ada dalam perlembagaan ialah sekadar pengekalan dan penerusan sesuatu yang telah pun wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Adalah tidak munasabah jika kedudukan itu hendak dipertikai, apalagi hendak dimansuhkan. Bahkan ia turut diterima dan diiktiraf oleh mahkamah sivil sendiri.

Mengenai kedudukan istimewa Melayu, peruntukan di bawah Perkara 153 sebenarnya cukup fleksibel: ia tidak berhasrat hendak mencipta satu bentuk rejim apartheid yang menindas. Perkara 153 hanya menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak tanpa menindas kepentingan kaum-kaum lain. Hal sama juga meliputi Perkara 152 mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kontrak sosial adalah asas kepada struktur dan kerangka perlembagaan kita. Ia relevan kepada beberapa jenis hubungan termasuk antara raja dan rakyat, Melayu dan bukan Melayu serta antara negeri dengan persekutuan.

Dalam menangani isu berbangkit tentang kontrak sosial, kita harus tahu membezakan antara kritikan yang munasabah dan desakan yang keterlaluan. Ditegaskan Abd. Aziz pada akhir pembentangannya ialah "walaupun peruntukan yang memanifestasikan idea kontrak sosial itu perlu kekal, pelaksanaannya hendaklah sesuai dengan kehendak tuntutan semasa dengan mengambil kira asas dan semangat demokrasi perlembagaan kita".

Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak dapat mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 kerana pihak British ketika itu menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara demokrasi berparlimen raja berperlembagaan dengan konsep negeri dan persekutuan. Selain itu, Perlembagaan Persekutuan diwujudkan hasil daripada kontrak sosial yang dilahirkan daripada permuafakatan pelbagai kaum di negara ini. Perlembagaan itulah juga yang mentakrifkan negara kita serta menentukan sifat bangsa dan negara Malaysia. Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 memberikan kewarganegaraan terbuka kepada bukan Melayu, sebahagiannya imigran dan diterima secara automatis sebagai warga Negara dan diberikan jus soli. Inilah antara sifat negara dan bangsa Malaysia yang harus difahami, berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan sistem pemerintahan beraja.

Oleh itu pembentukan kontrak sosial dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Untuk mengatakan yang ianya tidak wujud samalah dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada penerimaan oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak sosial yang asal. Pelaksanaan kontrak sosial ini memerlukan pemahaman semangatnya yang mendalam. Kontrak sosial ini bertujuan mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni. Apa jua faktor yang akan akibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan ketegangan di antara kaum haruslah dianggap tidak sesuai dengan semangat kontrak sosial ini. Menidakkan kewujudan kontrak sosial ini ialah seperti berkata yang Malaysia ini wujud di dalam suasana kekosongan, tidak ada Perlembagaan dan undang-undang yang berlandaskan kontrak ini.
Kontrak sosial ternyata berjaya membawa semua kaum di Malaysia supaya menghormati setiap hak yang telah ditetapkan oleh perlembagaan. Sesungguhnya elemen-elemen kontrak sosial yang terdapat dalam perlembagaan persekutuan tanpa syak lagi adalah asas bagi melicinkan urusan pentadbiran negara dan menolak sebarang percubaan mempersoalkan mana-mana daripada elemen-elemen ini yang berkemungkinan akan mencetuskan perpecahan dalam keharmonian kaum.
Meskipun kaum bumiputera telah diberi keistimewaan dan hak-hak tertentu berbanding kaum lain, namun kaum lain turut sama dapat hidup dengan aman damai di Malaysia tanpa berasa tertindas. Ini berlainan dengan masyarakat di negara lain yang mempunyai konflik antara kaum disebabkan kegagalan masyarakat untuk menghormati dan patuh pada kontrak sosial yang telah ditetapkan. Menurut Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi semasa menyampaikan ucaptama bertajuk `Cabaran Masyarakat Berbilang Agama, Bangsa dan Budaya‘ pada Sidang Kemuncak Media Asia 2004. Beliau berkata bahawa:
“Setiap masyarakat yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama perlu diikat dengan satu kontrak sosial yang menyediakan rangka untuk perhubungan politik, sosial dan ekonomi berdasarkan persetujuan bersama. Ia mengurangkan salah faham dan konflik kepentingan serta membolehkan setiap orang menumpukan kepada usaha meningkatkan hidup mereka dalam suasana aman dan harmoni”
Walaupun isu-isu kontroversi kaum di Malaysia ditangani secara komprehensif oleh pelbagai jabatan dan kementerian, dalam kerajaan pihak yang secara langsung menguruskan isu perpaduan rakyat dan hubungan kaum ialah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional. Dalam keadaan normal, setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM151 juta kepada jabatan itu untuk menganjurkan program-program bagi merapatkan hubungan 26 juta rakyat negara ini yang berbilang etnik, budaya dan agama.
Jika hubungan etnik mengalami kemerosotan, bayangkan berapa banyak peruntukan yang terpaksa kerajaan gunakan bagi membetulkan semula hubungan kaum yang bermasalah. Bayangkan pula kerugian yang terpaksa ditanggung dari segi ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa sekiranya persaingan etnik yang tidak terkawal membawa kepada tercetusnya keganasan dan rusuhan perkauman. Kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah. Permuafakatan yang dicapai telah mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Parti Perikatan dalam pilihan raya 1955.
Sebahagian masyarakat bukan Melayu ketika itu mungkin menganggap kontrak sosial sebagai sesuatu yang dikaitkan dengan kewarganegaraan yang diberikan kepada mereka yang pada masa itu terdiri daripada imigran atau keturunan imigran.
Generasi bukan Melayu sekarang pula menganggap kontrak sosial ini sebagai sesuatu yang sudah berlalu. Mereka tidak nampak kenapa ia masih dibangkitkan kerana bagi mereka ia adalah sesuatu yang automatik. Mereka juga tahu bahawa hak istimewa masyarakat bumiputera merupakan sebahagian daripada kontrak sosial. Jika golongan bukan Melayu diberi kewarganegaraan atas syarat-syarat tertentu, masyarakat bumiputera pula diberi perlindungan melalui fasal-fasal dalam Perlembagaan tentang hak istimewa orang Melayu.
Masyarakat bukan Melayu perlu memahami kedudukan politik Melayu atau sistem kenegaraan Melayu dan pengaruhnya kepada negara manakala kaum bumiputera pula harus memahami hakikat masyarakat berbilang kaum yang terdapat di negara ini. Hak orang bukan Melayu tidak boleh disangkal kerana mereka telah lama bermastautin, lahir dan membesar di Malaysia. Apa yang penting ialah kedua-dua pihak harus saling memahami.
Oleh yang demikian seharusnya polemik berkaitan hak-hak kaum lain tidak dipertikaikan. Ini kerana ia telah pun termaktub di dalam perlembagaan.Polemik berkaitan isu kontrak sosial ini yang pernah ditimbulkan oleh Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqiu) satu ketika dahulu iaitu tentang 83 tuntutan yang antaranya menuntut agar semua orang Cina mendapat semua perkara yang dianggap sebagai hak mereka dan menghapuskan hak istimewa orang Melayu. Begitu juga kenyataan yang dibuat oleh bekas Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik yang menggesa parti-parti politik melupakan formula kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan. Menurut beliau, formula kontrak sosial itu membuatkan masyarakat Cina dan India merasa kecil hati. Malah negara kita juga pernah gempar dengan kontroversi berkaitan isu agama iaitu tentang cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan usaha Kumpulan Artikel 11 yang giat berkempen ke seluruh negara atas nama kebebasan individu untuk bebas beragama sehingga menimbulkan suasana tegang dan kemarahan umat Islam setiap kali mengadakan kempen-kempen penerangan mereka. Ini adalah rentetan daripada polemik kes Lina Joy dan juga kes perebutan mayat Moorthy, Nyonya Tahir dan juga terbaru Rayappan antara keluarga si mati dan juga Jabatan Agama Islam.
Contoh-contoh polemik di atas seharusnya perlu dielakkan bagi menjamin keharmonian kaum di Malaysia. Ini kerana mengapa perlu kontrak sosial dirombak sedangkan formula tersebut ternyata berkesan hingga kini dalam memelihara perpaduan antara kaum. Mungkin jika kontrak sosial ini dibincangkan secara terbuka akan memebi lebih banyak kesan kepada setiap kaum di Malaysia. Ini kerana jika ini berlaku sudah tentu orang Melayu akan memprotes dan ini sekaligus boleh menimbulkan ketidaksefahaman dan sangsi dengan kaum lain. Oleh itu bagi mengelakkan rasa prejudus ini dan mengelak perkara yang tidak dijangka adalah lebih wajar jika kita mengambil jalan mudah dengan tidak membicarakan tentang kontrak sosial.
Dan Perlembagaan Malaysia digubal berasaskan kepada kontrak sosial yang 5 itu. Sebab itulah juga, seandainya kita bercakap tentang menghapuskan hak istimewa orang Melayu, bermakna kita juga kena menukar Perlembagaan Malaysia. Kerana hak istimewa orang Melayu adalah salah satu asas yang membentuk Perlembagaan Malaysia.
Semasa kontrak sosial ini dibincangkan antara Melayu, Cina dan India sebelum merdeka, British telah menawarkan kepada orang Cina dan India - sekiranya mereka tidak bersetuju untuk menerima syarat yang ditetapkan ini, British memberi mereka 2 pilihan:
1.Pulang kenegara asal mereka 2.Berpindah ke negara-negara Asia di bawah jajahan takluk British
Pada masa itulah, beratus ribu orang Cina dan India keluar dari Tanah Melayu kerana mereka tidak percaya orang Melayu mampu mentadbir Tanah Melayu secara bersendirian. Maksudnya mereka lebih percayakan British. Orang Cina dan India (yang menerima dan bersetuju dng Kontrak Sosial) mendapat kerakyatan pada hari ini dengan pengorbanan yang cukup besar daripada orang Melayu. Sejarah yang tertulis ini, ialah nenek moyang mereka telah bersetuju dengan kontrak sosial tersebut dan perlulah diterima dan di hormati sampai bila-bila hakikat ini, oleh semua rakyat Malysia terutamanya kaum Cina dan India.
6.0 DASAR-DASAR YANG MENYOKONG KONTRAK SOSIAL DAN MEMBANTU MENIGKATKAN PERPADUAN.
Untuk merialisasikan sebuah negara bangsa Malaysia, sesuatu dasar yang mempunyai tujuan menyatupadukan pelbagai bangsa harus dibentuk. Kerajaan harus merancang dasar pembangunan negara yang berobjektifkan yang dapat membentuk persepaduan rakyat, pengukuhan perpaduan bangsa dan sebagainya agar kesinambungan objektif dasar-dasar perpaduan tersebut dapat membentuk dan seterusnya dapat mengukuhkan perpaduan negara bangsa tersebut. Dasar-dasar pembangunan negara merujuk kepada usaha kerajaan bersama dukungan rakyat untuk melakukan perubahan dalam aspek sosial, kebudayaan, politik, dan ekonomi secara yang seimbang dan adil bagi semua kaum (Shamsul Amri Baharuddin : 2007). Oleh yang demikian, keseimbangan dan keadilan terhadap semua kaum amat penting agar tidak berlaku perselisihan faham antara kaum. Dasar-dasar yang dipilih adalah untuk melihat kepada tahap pencapaian usaha kerajaan sehingga perpaduan rakyat dapat dicapai dan diperkukuhkan.
6.1 Dasar Ekonomi baru (DEB).
Dasar pecah perintah oleh british mewujudkan jurang pengelasan kaum seterusnya menghalang interaksi antara kaum menjadi antara punca utama peristiwa 13 mei 1969. Sejak 1957 sehingga 1960, pembangunan ekonomi telah dipengaruhi oleh kuasa pasaran. Walaupun kadar pertumbuhan ekonomi amat baik, namun disebabkan oleh pengagihan tidak seimbang telah mewujudkan satu jurang antara kaum. Golongan yang miskin, kebanyakannya kaum Bumiputera yang tinggal di kawasan luar bandar dan bekerja sebagai petani, masih ramai dan mundur, manakala kaum cina dan orang asing pula menguasai bidang perindustrian, perniagaan dan sektor korporat (www.isis.org.my : 1 September 2009). Penyusunan bangsa yang dilakukan telah mewujud ketidak seimbangan pendapatan ekonomi masyarakat, yang menetap dibandar semakin kaya, sedangkan yang menetap dikawasan pembangunan tidak dapat membangunkan ekonomi mereka dengan disebabkan oleh faktor persekitaran.
Justeru itu, DEB dikenalkan pada tahun 1970 selepas belakunya peristiwa rusuhan pada tahun 1969. Matlamat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata ialah untuk penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi, pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum. Usaha yang dilakukan ini adalah bertujuan untuk menambahkan lagi pendapatan golongan miskin dan penduduk di kawasan luar bandar, miningkatkan lagi tahap kemodenan dalam sektor pertanian, meningkatkan tahap pelajaran dikalangan penduduk kawasan luar bandar serta menambahkan lagi pegangan ekuiti korporat Bumiputera. Hal yang demikian dilakukan agar dapat merapatkan jurang antara penduduk bandar dan luar bandar, kerana jurang yang wujud ketika itu telah memisahkan persepaduan serta dapat mewujudkan sikap buruk sangka antara bangsa.
Ketetapan peratusan turut ditentukan oleh kerajaan terhadap kuota pegangan ekuiti korporat dan peratusan pekerja. Sasaran juga ditetapkan iaitu 30 % pegangan ekuiti korporat oleh Bumiputera, penetapan kuota kemasukan pelajar Bumiputera di universiti dan 30 % daripada bilangan pekerja mestilah Bumiputera (www.isis.org.my : 1 September 2009). Tindakan yang dilakukan ini adalah untuk memastikan bahawa penglibatan masyarakat Bumiputera harus ada dalam pegangan ekuiti korporat dan peningkatan pendidikan dengan menyambung pelajaran di universiti agar masyarakat Bumiputera dapat bersaing dan meningkatkan tahap ekonomi seperti kaum-kaum lain yang menetap di bandar. Peningkatan taraf hidup ini dapat merapatkan jurang antara masyarakat dan dapat membentuk satu bangsa negara Malaysia yang bersatu padu.
DEB yang digubal oleh kerajaan juga jelas sekali untuk meningkatkan pendapatan masyarakat Bumiputera yang jelas dilihat amat miskin ketika itu. Memperbetulkan ketidakseimbangan sosioekonomi yang wujud antara kaum dan wilayah, mempertingkat penglibatan kaum Bumiputera dalam bidang perniagaan dan perusahaan(Shamsul Amri Baharuddin : 2007). Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5) iaitu pada tahun 1986 sehingga 1990 yang masih meneruskan DEB menunjukan bahawa keberkesana dasar tersebut dan perlu dikekalkan sehingga hari ini. Dalam Rancangan Malaysia Kelima ( RML 1986-1990) langkah membasmi kemiskinan memerlukan pendekatan mikro iaitu menumpukan kepada keluarga dan kampung( Wan Azmi Ramli : 1993). Strategi yang digunakan untuk membasmi kemiskinan ialah dengan menghantar agensi-agensi yang bertanggungjawab untuk terus ke kampung-kampung untuk melihat individu-individu yang ditakrifkan sebagai golongan termiskin. Kemiskinan yang wujud ketika ini tidak sama dengan kemiskinan dua dekad yang lalu, ia tidak terhad kepada kemiskinan fizikal tetapi juga mental ( Wan Azmi Ramli : 1993).
Selain itu juga dapat dilihat bahawa pada tahun 2005 telah menunjukan kejayaan yang dicapai oleh DEB iaitu penurunan terhadap kadar kemiskinan dan peningkatan kepada taraf pendidikan kaum Bumiputera. Yang paling menonjol ialah penurunan kadar kemiskinan dari 49.3% pada tahun 1970 kepada 5.7% pada tahun 2005(www.isis.org.my : 1 September 2009). Pendapatan penduduk di luar bandar telah meningkat dan seterusnya dapat mengurangkan pengangguran. Kemudahan asas yang telah wujud seperti jalan raya, sekolah dan sebagainya telah menunjukan peningkatan taraf hidup penduduk luar bandar. Hal ini telah menunjukan jurang antara penduduk bandar dan luar bandar semakin rapat, usaha kerajaan untuk menyatupadukan masyarakat untuk mencapai negara bangsa Malaysia semakin tercapai.
Selain itu, pegangan ekuiti korporat Bumiputera turut meningkat dari 2.4% pada 1970 kepada 19% pada tahun 2000 (www.isis.org.my : 1 September 2009). Walaupun capaian tidak mencecah sehingga 30 %, namun peningkatan yang dilihat dari tahun 1970 sehingga 2000 dapat menunjukan bahawa usaha kerajaan telah membuahkan hasil yang agak ketara.
Pengagihan ekonomi yang seimbang amat penting demi mewujudkan sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang bersatu padu, sejarah peristiwa hitam 13 mei 1969 membuktikan bahawa perpaduan yang hendak dicapai bukan sahaja melibatkan penyatuan kaum sahaja tetapi adalah didapati keseimbangan ekonomi dan sosial juga perlu dilakukan. Oleh yang demikian, usaha DEB sangat penting dalam mewujudkan perpaduan kaum. Perpaduan inilah yang akan membentuk sebuah negara bangsa Malaysia.
6.2 Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Dasar kebudayaan kebangsaan (DKK) merupakan asas daripada gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 1971. Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, pembentukan kebudayaan yang nasional amat penting agar dapat melahirkan cara hidup yang bersifat keMalaysiaan. Sebagai usaha untuk membentuk sebuah negara bangsa perlu ada persefahaman antara kaum-kaum yang terdapat dinegara kita. Hal ini kerana dengan cara mengenali budaya kaum lain dan menghormati dengan apa yang mereka amalkan dapat mewujudkan keamanan di negara kita. Perselisihan faham yang berlaku adalah disebabkan oleh sikap kepentingan diri sendiri dan sikap tidak menghormati kaum lain serta iri hati yang wujud disebabkan oleh berbeza kepercayaan.
Dalam setiap penggubalan dasar, objektif amat diutamakan kerana dengan penetapan objektiflah kita dapat melihat tahap pencapaian dasar tersebut. Antara objektif DKK mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan, memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada kebudayaan kebangsaan, memperkayakan dan mempertingkatkankualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi (www3.pmo.gov.my: 1 september 2009). Oleh itu, dapat diteguhkan bahawa matlamat yang cuba dicapai oleh dasar tersebut ialah untuk mewujudkan lagi kesepaduan antara kaum dinegara kita.
Dalam memastikan DKK dapat bergerak baik, kerajaan telah menetapkan tiga prinsip utama dalam pembentukan budaya Malaysia. berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal (Melayu) rantau ini, unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar dan Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan (http://momentumuiam.blogspot.com: 1 september 2009). Dasar ini akan menjadi garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti negara. Berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini, rantau ini sebagai pusat pemancaran, pengembangan dan warisan kebudayaan melayu. Kebudayaan melayu sebagai teras kepada kebudayaan kebangsaan. Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar diterima, unsur-unsur budaya Cina, India, Arab, Barat dan lain-lain yg sesuai dan wajar diberi pertimbangan dan penerimaan dalam Kebudayaan. Tidak bercanggah dengan perlembagaan dan prinsip Rukun Negara dan agama. Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi serta nilai-nilai Islam yang telah sedia dibawa oleh sebahagian besar rakyat.
Antara strategi dan perlaksanaan yang telah dijalankan oleh kerajaan untuk mencapai matlamat dan objektif DKK ialah meningkatkan taraf dan kualiti kesenian melalui usahasama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya, memperbanyakkan pertunjukan kebudayaan untuk memupuk perasaan bangga selain menarik menat masyarakat, memupuk kesedaran dan perasaan menghormati kebudayaan etnik-etnik Malaysia bagi melahirkan semangat nasionalisme Malaysia, memberi latihan dan bimbingan kepada peminat-peminat kebudayaan, dan menyelidik di samping memulih dan memelihara kebudayaan agar tidak hilang ditelan zaman ( Wong Khek Siang: 2004). Antara perlaksanaan yang dilakukan pihak kementerian ialah melakukan penyelidikan dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti pengajuran program kebudayaan akan dilakukan bersama kompleks Budaya Negara, muzium negara, jabatan arkib negara dan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan.
Hasil daripada uasaha yang dijalankan oleh kerajaan ini pelbagai pencapaian dapat dicapai seperti identiti kewarganegaraan dapat dilihat dalam perayaan-perayaan. Yang kedua ialah rrangkaian-rangkaian televisyen dan radio membantu menonjolkan lagi identiti kebangsaan. Hasil usaha rangkaian media ini dapat mendidik setiap capaian khalayak untuk lebih memahami akan amalan dan budaya-budaya yang diamalkan oleh kaum lain seperti cara dan jenis makan, tarian, pakaian dan sebagainya. Selain itu ialah penggunaan bahasa kebangsaan secara menyeluruh di sekolah. Walaupun masih ada penggunaan bahasa Cina dan Tamil tetapi Subjek BM menjadi subjek wajib untuk lulus SPM.
Oleh yang demikian, dapat dinilaikan bahawa DKK merupakan dasar yang relevan kerana banyak progam yang dijalankan mendapat sambutan rakyat, identiti negara dapat diwujudkan secara beransur-ansur. Hasil usaha mulia kerajaan ini dilihat sebagai didikan dan pengenalan budaya-budaya kaum lain terhadap kaum tertentu. Melalui cara ini budaya Malaysia dapat dibentuk kerana tidak semestinya budaya asing melanggar landasan agama Islam. Tindakan ini dapat mewujudkan persefahaman antara kaum dinegara kita, seterusnya mewujudkan perpaduan yang bakal membentuk sebuah negara bangsa.
7.0 JABATAN PERPADUAN DAN INTERGRASI NASIONAL (JPNIN)
Sebagai salah sebuah agensi pelaksana yang dipertanggungjawabkan bagi membantu kerajaan untuk memelihara, meningkat serta mengukuhkan perpaduan dan memantapkan integrasi nasional, maka Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional sentiasa berusaha menyemai dan menyuburkan semangat kerjasama serta toleransi di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Disamping melaksanakan program dan aktiviti penggalakan perpaduan, usaha ke arah menyebarkan pengetahuan dan maklumat di kalangan masyarakat mengenai perhubungan kaum, integrasi nasional dan perpaduan negara juga dipergiatkan melalui saluran media termasuk internet. JPNIN mendukung misi ‘Memupuk Kesefahaman Dan Semangat Muhibbah Melalui Jaringan Dan Interaksi Sosial Ke Arah Pembentukan Bangsa Malaysia Yang Bersatu Padu Dan Beridentiti Nasional’. Antara tugas Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional adalah seperti :
i. Menggubal, menyelaras dan melaksanakan dasar yang boleh mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional
ii. Merancang, menyelaras dan melaksanakan program / aktiviti yang boleh memupuk dan mengukuhkan semangat perpaduan dan integrasi nasional serta meningkatkan semangat patriotik di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini
iii. Menubuhkan kawasan rukun tetangga dan tabika perpaduan berdasarkan kelulusan yang diberi oleh agensi pusat
iv. Memberi bimbingan dengan menerapkan nilai-nilai murni serta perpaduan di kalangan kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun melalui program pendidikan pra sekolah di tabika perpaduan
v. Melaksanakan penyelidikan mengenai perpaduan dan integrasi nasional secara berterusan dan saintifik
vi. Memantau iklim perpaduan dan integrasi nasional melalui pengesanan perhubungan sosial
vii. Meningkatkan publisiti dan mempromosi perpaduan dan integrasi di peringkat negeri dan kebangsaan melalui media cetak dan elektronik

Antara tindakan JPNIN adalah seperti:
7.1 Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN)
IKLIN ditubuhkan seiring dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan Bangsa Malaysia yang bersatu padu. Kenyataan ini bermaksud rakyat Malaysia dari setiap lapisan masyarakat perlu memahami hasrat murni yang tersirat ini dengan syarat mereka dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dalam bidang yang berkaitan.Oleh itu, sebagai sebuah institusi perpaduan yang memberi fokus kepada aspek kajian dan juga latihan dalam bidang perpaduan dan integrasi nasional, IKLIN bukan sahaja perlu mempunyai struktur yang mantap malahan kepimpinan di dalam IKLIN juga perlu diberi perhatian yang sewajarnya. IKLIN ini mempunyai misi iaitu ‘Menggalakkan perkongsian ilmu pengetahuan, idea, latihan, kajian dan penyelidikan serta konsep pembelajaran sepanjang hayat bagi memacukan ilmu dan pendidikan dalam bidang Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

7.2 Penubuhan kelab atau organisasi kecil dibawah JPNIN
i. Rukun Tetengga (RT)
Memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar-dasar kerajaan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara
ii. Skim Rondaan Sukarela ( SRS ) adalah seperti berikut :
Membantu mencegah jenayah dan menangani gejala sosial, Membantu menguatkuasakan undang-undang, Memberi perlindungan kepada nyawa dan harta benda, Mempertingkatkan semangat kejiranan di kalangan penduduk setempat, Memulihkan keadaan setempat agar menjadi aman dan sejahtera
iii. Kelab rukun negara (KRN)
Memperkenalkan prinsip-prinsip Rukun Negara, Memberi pengertian dan kefahaman tentang lima prinsip Rukun Negara., Menyubur dan mempertingkatkan kesedaran kerohanian akan kepentingan Rukun Negara sebagai asas norma kehidupan. Menjadikan prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai satu amalan cara hidup yang berterusan bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri, setia, bersatu padu, berwawasan, bermaruah, bersikap terbuka dan beretika sejajar dengan wawasan negara.
7.3 JPNIN turut melaksanakan pelbagai aktiviti seperti :
i. Debat Perpaduan
ii. Kursus Pengurusan Perhubungan Kaum
iii. Kursus Taska Komuniti
iv. Bengkel Pemantapan Kerjaya dan Aktiviti Tabika Perpaduan
v. Kursus Pemantapan Pengurusan Perpaduan
vi. Kursus Pengendalian Aktiviti Rukun Tetangga yang berkesan
vii. Kursus Latihan Perhubungan Komuniti

8.0 KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, dapat dinilaikan bahawa amalan sosial yang telah diamalkan oleh Malaysia sejak 50 tahun yang lampau sebenarnya dapat mencorak negara bangsa Malaysia. Usaha kerajaan sejak dari terciptanya Kontrak Sosial merupakan satu usaha utama yang dijadikan pegangan untuk menggubal dasar-dasar pembangunan negara untuk mencapai matlamat dan seterusnya dapat membentuk negara Bangsa yang mengutamakan perpaduan.
Ternyata selepas hampir 50 tahun kemerdekaan Malaysia, formula kontrak sosial yang telah dipakai telah berjaya menyatupadukan semua kaum di Malaysia tanpa berlaku sebarang konflik perkauman. Kontrak sosial ternyata berjaya membawa semua kaum di Malaysia supaya menghormati setiap hak yang telah ditetapkan oleh perlembagaan. Sesungguhnya elemen-elemen kontrak sosial yang terdapat dalam perlembagaan persekutuan tanpa syak lagi adalah asas bagi melicinkan urusan pentadbiran negara dan menolak sebarang percubaan mempersoalkan mana-mana daripada elemen-elemen ini yang berkemungkinan akan mencetuskan perpecahan dalam keharmonian kaum.
Namun begitu, disebabkan oleh kepercayaan sesetengah kaum yang masih ingin mengekalkan kepentingan sendiri seperti kepentingan budaya asal sehingga tidak mahu menerima budaya lain telah membantutkan usaha kerajaan. Kelakuan sesetengah pemimpin politik yang ingin menjaga status diri banyak mengurangkan kepercayaan sesetengah kaum terhadap usaha kerajaan. Sebagai contohnya usaha kerajaan untuk menubuhkan Sekolah Wawasan, disebabkan oleh risau akan kepupusan bahasa ibunda telah menyebabkan sesetengah ibubapa tidak mahu menghantar anak ke Kompleks Sekolah Wawasan tersebut kerana gara-gara dipengaruhi oleh ketua mereka yang hanya ingin menjaga status dan kepentingan sendiri.
Sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum. Adalah penting untuk menjaga keharmonian dimana semua rakyat dapat hidup bersatu padu, setia dan cinta akan negara. Justeru itu, dalam mewujudkan sebuah negara bangsa Malaysia, elemen sistem sosial yang terkandung dalam kontrak sosial perlu dititikberatkan dan dipelihara agarnya ianya terus kekal sejahtera.




9.0 RUJUKAN

Abdul Aziz Bari. 2001. Perlembagaan Malaysia: Asas-asas dan Masalah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dr. Mahani Zainal Abidin.1 September 2009.Pembangunan Keseimbangan dengan
Dasar Ekonomi Baru di Malaysia.
http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=mahathir&id=538
http://momentumuiam.blogspot.com/2008/07/ kontrak-sosial-dan-dasar-kebudayaan.html

Mohamed Suffian Hashim. 1987. Mengenal Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Salleh Abas. 1985. Unsur-unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysi.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shamsul Amri Baharuddin.2007. Modul Hubungan Etnik. Pusat Penerbitan Universiti
(UPENA). MASKHA SDN BHD. Kuala Lumpur.
Wan Azmi Ramli.1993. Dasar Awam Di Malaysia. Jilid 1. Golden Books Centre Sdn Bhd. Syarikat Percetakan Ihsan, Kuala Lumpur.

Wong Khek Siang, Raminah Hj. Sabran, Kok Meng Kee. 2004. Pengajian Am.Penerbit Fajar
Bakti Sdn Bhd. Shah Alam. Selangor.

1 comment:

  1. Leovegas » Claim 100% up to $1600 + 300 FS at LeoVegas
    Enjoy the best of the vua nhà cái sportsbook experience with LeoVegas. Claim a 100% Welcome Bonus up to $1600 and 300 happyluke FS at LeoVegas! leovegas

    ReplyDelete